Isnin, November 16, 2009

Merakyatkan Perlembagaan


MERAKYATKAN PERLEMBAGAAN
Oleh : Prof Dr Abdul Aziz Bari

Petang Jumaat lalu, saya diundang untuk bercakap dalam forum bertajuk berbicara tentang Perlembagaan anjuran Majlis Peguam Malaysia. Forum itu diadakan bersempena dengan pelancaran kempen yang pada saya cuba merakyatkan Perlembagaan. Tema yang dipilih ialah Perlembagaanku; yang begitu jelas cuba hendak menanamkan sikap mengambil berat terhadap Perlembagaan di kalangan rakyat. Supaya rakyat melihat dokumen Perlembagaan sebagai sesuatu yang mereka miliki dan bukan peninggalan British di negara kita.

Pembicara lain dalam forum yang dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenivasan itu ialah Profesor Emeritus Datuk Dr Shad S Faruqi, Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan dua orang peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Malik Imtiaz Sarwar.

Bercakap sebagai panelis pertama saya memulakan bicara dengan menyebut betapa di negara-negara seperti Jerman dan Indonesia dokumen Perlembagaan itu dikenali sebagai undang-undang asas atau dasar (basic law). Terma Perlembagaan yang kita gunakan di sini pada saya tidak menyatakan secara langsung atau secara automatis, kedudukannya di dalam negara.

Selain itu selama ini Perlembagaan dilihat sebagai dokumen undang-undang semata-mata. Dan ini menyebabkan rakyat terbanyak, baik yang terdidik apalagi yang sebaliknya, berasa jauh dari Perlembagaan dan masalah-masalahnya. Hanya kebelakangan ini sahaja rakyat menunjukkan rasa prihatin. Itu pun kerana mereka melihat bahawa Perlembagaan telah dilanggar oleh mereka yang sepatutnya menjunjung dan mempertahankan dokumen itu dan segala ideal yang dikandungnya.

Insiden dan krisis politik di Perak begitu jelas mengisyaratkan bahawa institusi yang diamanahkan untuk membantu perjalanan Perlembagaan khususnya dan proses demokrasi umumnya gagal berbuat demikian. Apa yang rakyat lihat ialah betapa istana, perkhidmatan awam dan mahkamah seolah-olah menjadi orang suruhan ahli-ahli politik tertentu di dalam Kerajaan Persekutuan.

Itu semua bukan salah Perlembagaan kerana sebagaimana dokumen-dokumen lain ia tidak boleh berbuat apa-apa. Perlembagaan memerlukan komitmen dan dokongan; baik dari rakyat mahupun mereka yang telah diamanahkan berbuat demikian khususnya para hakim di mahkamah. Malangnya Perlembagaan dibaca dengan mengetepikan semangatnya. Dalam beberapa kes hatta peruntukan yang jelas pun dilanggar dan diketepikan. Dan bukan itu sahaja, ia bertentangan dengan sikap dan pendekatan yang diambil oleh mahkamah sendiri sebelum ini.

Sebab itu bagi mereka yang sudah tidak betah melihat kejanggalan itu berpendapat bahawa kebanyakan hakim hanya bersedia melaksanakan undang-undang yang betul sekiranya ia tidak membahayakan Barisan Nasional!

Salah satu isu yang saya bangkitkan dalam forum itu ialah kewajaran dan perlunya dilaksanakan referendum atau pungutan suara. Azmi dan Malik nampaknya tidak setuju dengan saya. Tetapi bagi saya ia tidak berbahaya dan lebih selamat kerana mahkamah jelas tidak begitu berjaya melaksanakan tugas mereka.

Isu referendum itu saya bangkitkan dalam konteks pindaan Perlembagaan. Ramai yang berasa gelisah dengan kekerapan dan sebab-sebab mengapa pindaan Perlembagaan dilakukan dalam tempoh 52 tahun ini. Semua orang tahu bahawa mahkamah menerima apa sahaja yang dipinda: para hakim enggan menerima hujah bahawa ada perkara-perkara yang tidak boleh dipinda meskipun ini sekatan ini tidak disebut dengan jelas oleh Perlembagaan.

Memang referendum ada kelemahannya. Saya tahu benar sisi ini kerana sewaktu saya belajar di England dahulu saya nampak betapa rakyat terbanyak tidak tahu tentang apa yang cuba diputuskan oleh pungutan suara. Tetapi saya fikir ada beberapa perubahan dan perbaikan yang boleh dibuat di dalam sistem dan metodologi yang biasa dibuat dalam referendum. Bagi saya apa yang penting ialah bahawa referendum ini tidak dilarang oleh Perlembagaan atau undang-undang lain. Dalam pada itu ia juga tidak bertujuan untuk menggantikan peranan dan kuasa mahkamah. Apa yang saya cadangkan sekadar melengkapkan sistem yang ada.

Dari sudut yang lain saya fikir referendum ini selaras dengan hasrat merakyatkan Perlembagaan itu sendiri. Saya berpendapat dalam isu-isu tertentu adalah lebih baik kita merujuk kepada rakyat dan tidak kepada hakim. Ini kerana hakim tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan. Peranan ini perlu diberikan kepada Parlimen selaku suara rakyat atau kepada rakyat sendiri.

Apa pun Azmi dan Malik tidak memberikan sebab mengapa mereka tidak setuju dengan cadangan referendum yang saya bangkitkan itu.

Sewaktu sesi soal jawab Datin Paduka Marina Mahathir membangkitkan isu negara sekular; khususnya apakah Malaysia sekular. Saya dan Haji Sulaiman berpendapat bahawa negara ini bukan negara sekular sementara Azmi dan Malik berpandangan sebaliknya. Shad berpendapat bahawa Malaysia adalah gabungan kedua-duanya; yakni Islam dan sekular.

Saya memetik beberapa peruntukan termasuk Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan “Islam sebagai agama Persekutuan” dan Perkara 12(2) yang memberikan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menggunakan wang awam bagi tujuan Islam. Begitu juga dengan kewujudan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang mewajibkan baginda bersumpah dengan sumpah Islam yakni wallahi, wabillahi dan watallahi. Sebenarnya ada banyak lagi peruntukan dalam Perlembagaan, baik persekutuan dan negeri, yang menekankan sifat Islam Perlembagaan walaupun ia sedikit bilangannya. Tetapi apakah peruntukan-peruntukan lain, contohnya yang menjelaskan bidang kuasa negeri dan persekutuan, tidak Islamik?

Apa pun saya fikir isu seperti itu adalah isu akademik. Dan saya tidak fikir kedudukan yang disebutkan tadi membahayakan orang bukan Islam. Dalam konteks kempen merakyatkan Perlembagaan isu-isu seperti itu adalah berbahaya dan tidak mendatangkan faedah kerana ia membawa kepada perpecahan dan kekeliruan.

Sebenarnya ada banyak isu lain yang lebih penting dan relevan kepada semua orang; baik yang Islam atau yang bukan Islam. Isu berhubung dengan ISA, kedudukan istimewa Melayu yang diselewengkan, kebebasan bersuara dan seumpamanya jelas lebih utama dan mengancam kedudukan kita. Dalam inilah sebenarnya yang menghambat kemajuan dan perpaduan kita. Bukan soal apakah Malaysia negara sekular atau sebaliknya.

Isu-isu itu adalah gambar besar yang harus kita berikan tumpuan. Bukan isu-isu kecil bersifat agama dan kaum yang kebelakangan ini dikitar semula untuk mengekalkan kedudukan mereka yang berkuasa. Kita tidak harus sibuk mempertahankan bilik kita sedangkan rumah sedang marak 'dijilat' api!



* Profesor Dr Abdul Aziz Bari merupakan pensyarah undang-undang di UIAM, Gombak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails