Rabu, November 11, 2009

Kedah Bakal Bersih Dan Indah??


Dengan mengorak selangkah lagi ke hadapan, saya memuji langkah kerajaan Negeri Kedah yang mendengar suara hati rakyat dan melakukan sesuatu yang amat-amat dinantikan oleh rakyat Kedah. Jika sebut sahaja mengenai sampah, ia telah pun menjadi isu hangat yang sering diperkatakan dan menjadi bualan mulut sebahagian penduduk di negeri Kedah, terutamanya penduduk yang menetap di persekitaran bandar raya Alor Setar sejak beberapa tahun lalu.


Sebelum ini, kita acap kali mendengar sebahagian rungutan dan laporan daripada penduduk setempat yang menyuarakan rasa kurang senang mereka dengan tahap kebersihan di sekitar kawasan mereka, malah ia bukan perkara baru kerana seringkali juga permasalahan ini dipaparkan di dada akhbar.


Namun, saya fikir setelah sekian lama rakyat mengharapkan masalah itu diselesaikan kerajaan negeri dengan mengambil kira kepentingan rakyat, harapan rakyat Kedah untuk tinggal dalam persekitaran yang lebih bersih dijangka bakal menjadi kenyataan mulai bulan ini.


Saya positif dengan pengambilalihan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh Syarikat Environment Idaman Sdn. Bhd. (EISB) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berkuatkuasa mulai 1 November lalu, mampu membersihkan imej Kedah yang dikatakan dipenuhi sampah yang tidak terurus di beberapa kawasan termasuk bandar raya Alor Setar sendiri.


Dikatakan sebanyak lima PBT memeterai perjanjian dengan syarikat berkenaan sebagai langkah permulaan, sebelum ia dijangka disusuli ke kawasan lain dalam tempoh terdekat. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi, baki tujuh lagi PBT di negeri ini juga dijangka akan menandatangani perjanjian pada penghujung bulan depan selepas segala klausa kontrak dimuktamadkan.


Pengambilalihan operasi sepenuhnya secara interim sebagai permulaan awal itu melibatkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Daerah Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Sik dan PBT Taman Teknologi Tinggi Kulim. Berikutan pengambilalihan itu, sebahagian besar pekerja asal di PBT yang terlibat akan bekerja dengan syarikat swasta berkenaan selepas bersetuju menerima salah satu antara tiga pilihan yang ditawarkan.


Ia melibatkan seramai 1,600 pekerja di seluruh negeri, manakala sejumlah 550 orang dengan lima PBT berkenaan. Menerusi perjanjian tersebut, ini bermakna EISB secara rasminya akan menjalankan kerja-kerja pengurusan pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan berkenan secara cekap dan teratur.


Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan antara PBT negeri dan EISB yang diwakili Pengarahnya, Datuk Azmil Khalili Khalid, di Alor Setar baru-baru ini juga disaksikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.


Untuk makluman semua, Kedah merupakan negeri pertama yang menandatangani perjanjian tersebut dengan syarikat berkenaan yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Pusat untuk menjalankan operasi pelupusan sisa pepejal di negeri-negeri utara Semenanjung. Maka diharapkan syarikat tersebut dapat menangani masalah sebelum ini dengan sebaiknya dan Kedah pula dapat meningkatkan imejnya di pandangan mata umum selepas ini.


Pihak EISB pula menjangkakan pada peringkat permulaan pengambilalihan ini, perkhidmatan berkenaan akan melalui tempoh percubaan yang sukar daripada segi penerimaan persepsi masyarakat, perubahan minda tenaga kerja dan pelaksanaan operasi.Akan tetapi apabila pihak syarikat tersebut mengatakan cabaran berkenaan akan menjadi pembakar semangat kepada syarikat itu dalam memastikan perjalanan operasi yang sebaik mungkin, saya optimis ini merupakan langkah permulaan yang terbaik untuk rakyat Kedah keseluruhannya.


Buat rakyat Kedah, jangan khuatir dan bimbang, kerana syarikat EISB ini mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam menerusi kakitangan dan syarikat induknya sebelum ini. Maka, kita semua rakyat Kedah mengharapkan pengalaman yang ada itu dapat digunakan sebaiknya untuk ’menaiktarafkan’ tahap kebersihan di negeri Kedah nanti.


Saya amat bersetuju apabila kerajaan negeri Kedah bercadang menjadikan aspek kebersihan dan keindahan sebagai satu agenda pada tahun depan dengan memastikan penyertaan semua pihak menjayakannya. Dan saya juga bersetuju dengan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi yang mengatakan betapa cekap pun pengurusan, hasrat untuk mencapai tahap kebersihan dan keindahan terbaik sukar dicapai sekiranya rakyat tidak dilibatkan sama.


Maka?? Kita semua sebagai rakyat Kedah, perlulah bersama-sama bergandingan tangan membantu usaha kerajaan negeri untuk mensejahterakan negeri Kedah ini. Sama-samalah kita menjaga kebersihan negeri Kedah, agar kita betul-betul merasai nikmat Darul Aman bukan semata-mata mengatakan Kedah Darul Aman tetapi tidak berusaha untuk merealitikannya..=)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails