Ahad, November 15, 2009

Banjir Di Kedah Bertambah Buruk


ALOR SETAR, 14 Nov : Keadaan banjir di Kedah semakin buruk hari ini dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,062 orang membabitkan 255 keluarga berbanding 679 orang malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata sebanyak 13 pusat pemindahan telah dibuka di tiga daerah iaitu masing-masing enam di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu manakala satu di Padang Terap.

"Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi apabila seramai 711 orang membabitkan 158 keluarga diarahkan berpindah selepas rumah mereka dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bilangan mangsa banjir di daerah Kota Setar adalah sebanyak 314 orang daripada 89 buah keluarga manakala di Padang Terap jumlah mangsa berkurangan kepada 37 mangsa daripada lapan keluarga.

"Setakat jam 11 pagi tadi, hanya Sungai Pantai Johor sahaja yang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 2.30 meter (paras bahaya 2 meter)," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails