Khamis, April 22, 2010

Kerajaan Negeri Beri Geran Hak Milik Tanah Untuk Rakyat

Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

ALOR SETAR, 22 April 2010 - Peneroka Felcra dan Felda yang mengusahakan tanah di kawasan mereka bakal mendapat geran hak milik tanah apabila Kerajaan Negeri Kedah bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak semalam telah memutuskan untuk memberikan geran hak milik tanah tersebut kepada peneroka yang akan dikenalpasti.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, hak milik itu membabitkan sembilan kawasan rancangan Felcra dan tujuh kawasan Felda yang akan diproses dalam masa terdekat.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam, antara tanah rancangan Felcra yang telah dikenalpasti akan diberikan geran hak milik tanah termasuk Weng, Iboi dan Tiak (Baling), Belantik (Sik), Belimbing, Tolak dan Bukit Tampoi (Padang terap) serta Bukit Selambau I dan II (Kuala Muda). Manakala bagi kawasan Felda pula melibatkan Laka Selatan, Bukit Tangga, Bukit Tembaga, Lubok Merbau, Gunung Pongsu, Teloi Timor dan Teloi Kanan.YAB Dato’ Seri berkata proses penyerahan tanah akan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) untuk mengenalpasti penerima dan menyemak semula status tanah yang dimiliki bagi memudahkan proses penyerahan geran tanah kepada peneroka terbabit.

“Saya tidak pasti berapa ramai peneroka terbabit termasuk jumlah keluasan tanah, kerana kita perlu membuat semakan semula. Saya harap keputusan ini akan menggembirakan peneroka di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Hal Ehwal Tanah Negeri Kedah berharap, peneroka yang bakal menerima geran tanah tidak lama lagi bergembira atas ihsan Kerajaan Negeri dan ini untuk menjamin masa depan keluarga mereka.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri juga telah memutuskan tanah seluas 0.56 hektar bagi membina Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina di Kerpan yang mana projek ini di bawah seliaan State Secretary Incorporated (SSI) dan sebelum ini kerajaan negeri telah menyerahkan tanah untuk pembinaan SRJK Tamil di Bedong.

KEDAH COMMUNICATION & EVENTS SDN. BHD.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails