Selasa, April 27, 2010

Projek Pertanian Kedah Dirancakkan Untuk Kesejahteraan Rakyat


ALOR SETAR, 26 April - Program pembangunan pertanian di negeri ini akan berjalan lancar tanpa dibayangi pengaruh politik, selain mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Pusat.

Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Belakan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom bahawa projek pertanian di negeri ini tidak akan dianaktirikan semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.

“Saya sendiri telah berbincang dengan beliau mengenai projek pertanian di Kedah, dan saya diberi jaminan, kita akan mendapat kerjasama sewajarnya untuk membangunkan program pertanian untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ir Amiruddin berkata, kawasan sawah padi yang dibangunkan di bawah projek Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan dipantau oleh agensi terbabit, manakala kawasan luar Mada akan dipantau Kerajaan Negeri.

“Lebih 40,000 hektar di luar kawasan Mada ditanam padi setahun sekali, dan mana-mana kawasan terbabit yang tidak sesuai lagi ditanam padi akan dibangunkan untuk projek pembangunan lain,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu penduduk terus dibelenggu kemiskinan ekoran terpaksa mengerjakan kawasan sawah setahun sekali, yang tidak membuahkan hasil lumayan, sebaliknya akan menasihatkan penduduk supaya beralih kepada sektor lain.

“Buat masa ini, kita sedang berbincang dengan Sime Darby Plantations untuk melihat mana-mana kawasan padi di luar kawasan Mada yang berpotensi untuk projek pembangunan yang sesuai,” katanya.

Amiruddin berkata, projek pertanian yang dirancang Kerajaan Negeri sebelum ini amat memberangsangkan, dan beliau percaya Kedah akan muncul sebagai negeri pertanian era moden menjelang 2015.

“Potensi Kedah untuk mencapai sasaran negeri pertanian menjelang 2015 amat cerah, apabila sebahagian projek pertanian telah pun menunjukkan kesan positif. Antaranya, ladang nanas seluas 2000 hektar telah pun bermula di Selatan Kedah,” katanya.

Menurutnya, perbincangan turut diadakan untuk menjalankan penyelidikan tisu kultur nanas bagi menghasilkan nanas yang lebih berkualiti di Bio Valley, Kulim.

“Kita akan perluaskan skop pertanian, bukan sahaja menanam tetapi turut memproses seperti mengetin untuk pasaran eksport,” katanya.

Projek pertanian lain ialah penanaman jagung di Bukit Tangga yang turut menempatkan tempat latihan untuk menyasarkan 10,000 ekar tanaman jagung mencecah menjelang 2015.

“Turut dicadangkan pembinaan sebuah kilang memproses bahan makanan berasaskan jagung, dan kita sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan kilang terbabit,” katanya.

Berikutan itu, penduduk Kedah dinasihatkan merebut peluang pekerjaan yang akan terbentang luas kelak, supaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri ini.

“Projek yang masih dalam perancangan ialah ternakan ikan talapia di Tasik Pedu dan ternakan ikan di laut lepas di Langkawi. Ini antara usaha Kerajaan Negeri untuk menambah pendapatan penduduk, selain meningkatkan pulangan hasil Kerajaan Negeri menerusi revolusi pertanian yang dijalankan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails