Ahad, April 25, 2010

Nilai Dan Harga Yang Tidak Dapat Dibeli


Bila kita kaya, kita boleh membeli apa sahaja yang kita mahu. Kereta mewah, rumah banglo seperti istana, pakaian mahal-mahal, makanan yang beraneka jenis dan mahal, tanah atau ladang yang luas, pangkat tinggi, jawatan dan kerja bagus, dan macam-macam lagi yang menjadi keinginan kita. Bila kaya, mungkin juga ada yang berkeinginan mahu berbakti kepada ibu ayah dengan membawa mereka pergi menunaikan haji dan sebagainya, bila kaya nanti mahu memberi wakaf, bersedekah, membantu anak-anak yatim dan orang fakir miskin, dan lain-lain lagi.

Hari ini hari pembuangan undi pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Pelbagai janji dan tawaran ditabur ibarat segala kesenangan yang turun mencurah-curah dari langit bukan?? Rakyat Malaysia yang berada di kawasan lain pasti cemburu dengan segala kesenangan dan kemewahan yang bakal dijanjikan oleh setiap parti dan kerajaan yang bertanding, kepada penduduk Hulu Selangor. Calon PKR mewakili gabungan Pakatan Rakyat, kerajaan yang memerintah negeri Selangor, dan calon MIC pula mewakili gabungan Barisan Nasional, kerajaan yang memerintah Malaysia. Kerajaan Negeri vs Kerajaan Pusat. Apakah kesudahannya?? Apakah implikasinya kepada yang memberi undi kepada mereka??

Berbalik kepada fantasi jika kita kaya seperti di awal tadi, mungkin bila kita jadi kaya dan berpengaruh, bagi yang terjun ke dunia politik pula, kekayaan dijadikan aset terpenting untuk meraih undi dan sokongan orang ramai. Wang ringgit digunakan untuk melobi orang atasan dalam parti untuk mendapat jawatan sebagai contoh. Pelbagai tawaran dengan wang dan yang seumpama dengannya, diharapkan dapat mengaburi mata mereka tadi. Tanya diri kita sebentar. Mahukah kita menjadi insan yang kaya seperti itu? Jika kita menjadi rakyat biasa kawasan orang kaya tersebut, mahukah kita menerima wakil rakyat kaya seperti itu??

Akan tetapi kaya sahaja tidak bermakna dia dapat memiliki segalanya dan mendapat apa sahaja yang dia impikan. Bukan dengan wang yang banyak itu mampu membeli semua yang kita inginkan. Wang memang satu keperluan pada zaman ini, tetapi wang bukanlah segalanya. Ada yang lebih mahal harganya, sehinggakan ianya tidak dapat dibeli dengan wang ringgit walau nilainya berjuta-juta jumlahnya.

Si kaya mungkin boleh membeli banglo mewah dan besar, rumah di tepi pantai yang cantik, rumah dilengkapi dengan segalanya, akan tetapi dia tidak pasti mampu membeli sebuah ketenangan dan kebahagiaan dengan rumah yang sebegitu. Fikiran melayang memikirkan musuh-musuh perniagaan, musuh-musuh politik, fikirkan ada sahaja yang mahu merampas dan mengganggu gugat harta kekayaannya itu. Mungkin si miskin lebih bahagia dan tenang di sisi keluarganya walau rumah dan harta tidak seberapa. Harga sebuah ketenangan dan kebahagiaan tidak boleh dibeli dan dimiliki sebegitu mudah.

Si kaya juga mungkin boleh membeli kereta mewah dan mahal, dapat membeli rumah di sana dan di sini, nilainya berjuta-juta ringgit, namun ada antara mereka yang tidak mempunyai zuriat sendiri. Mungkin si kaya boleh membayar pakar sakit puan dan doktor pakar untuk dia dan isteri, namun harga dan nikmat mempunyai zuriat bukanlah sesuatu yang boleh dijual beli. Mungkin ada si miskin yang mempunyai zuriat dan dikurnia rezeki yang banyak walaupun mereka miskin.

Si kaya mungkin boleh memenangi sesebuah pilihanraya dengan menaburkan wang ringgit berjuta-juta, namun bukan itu yang menjadi matlamat akhir, kerana rakyat yang sedar akan sentiasa mengingati matlamat utama yang lagi penting. Bukan matlamat dunia sahaja, tetapi matlamat akhirat juga perlu dititikberatkan. Undi mereka bukan sekadar di atas kertas undi semata-mata, tetapi sebuah amanah dan harapan, sebagai bekalan ke negeri yang kekal abadi.

Contoh mudah, ketahuilah rakyat yang menyokong kerajaan yang zalim, rakyat yang mendampingi pemimpin kerana habuan semata-mata, sedangkan memejamkan mata mereka akan kemungkaran, kebatilan, penindasan dan pembohongan sebahagian pemimpin tersebut, tahukah mereka akan dihalau dari mendapat nikmat minum air dari Telaga Kautsar di akhirat kelak? Malah Nabi tidak akan mengakui mereka daripada umatnya dan mereka tidak dapat menemui Nabi di akhirat sana??

Hadis riwayat at-Tirmizi tersebut mengatakan golongan yang tidak dapat meminum air Telaga Kautsar kelak, antaranya atas sebab-sebab mereka ingkari sunnah Rasulullah, mereka mengampu pemerintah dan pemimpin bagi mendapatkan habuan-habuan tertentu, mereka membenarkan segala pendustaan dari pemerintah yang zalim dan menipu itu kerana mempunyai tujuan tertentu.

Mereka juga mengetahui pemerintah itu berbohong sedangkan mereka membenarkan pembohongan itu, Rasulullah S.A.W. sifatkan mereka itu bukan dari kalangan umatnya. Sedangkan ada golongan yang dianggap dari kalangan umat Nabi S.A.W. namun ada juga antara mereka yang tidak dapat mendekati Telaga Kautsar, inikan pula mereka yang Nabi S.A.W. sendiri tidak lagi mengaku sebagai umatnya.

Dan apakah yang dimaksudkan pembohongan oleh pemerintah? Pembohongan itu contohnya pemerintah tidak melaksanakan hukum Allah dan undang-undang yang termaktub di dalam Al-Quran tetapi mereka mendakwa sebagai kerajaan atau negara Islam.

Para pemimpin menghebohkan negara itu sebagai negara Islam, sedangkan perlembagaannya ternyata sekular. Islam mengharamkan judi dan arak, tetapi negara yang didakwa negara Islam tadi mengeluarkan lesen judi dan arak. Pengeluaran lesen tersebut bererti membenarkan perkara yang diharamkan Allah. Lebih menyedihkan, ada di antara pemimpin yang beragama Islam sendiri menjadikan arak sebagai minuman wajib mereka ketika ada majlis keraian terutama yang melibatkan tetamu kehormat dari luar negara.

Pembohongan itu sepatutnya ditegur ulama’, mufti dan umat Islam yang prihatin terhadap kemungkaran. Malangnya ulama’ dan mufti yang mempunyai kuasa untuk menegur, tidak menegur malah hanya memejamkan mata terhadap kemungkaran pemerintah tersebut. Apa yang lebih mendukacitakan, ada kalangan ulama’ tersebut membela atau membenarkan dakwaan pemimpin-pemimpin yang diketahui mereka telah berdusta itu. Agak-agaknya kenapa ya mereka jadi sebegitu rupa??

Kesimpulannya, harga sebuah hidayah, kefahaman agama, kebahagiaan, ketenangan, rezeki, zuriat, nikmat sihat, dan banyak lagi, tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan kekayaan. Perlu diingat, Allah Maha Kaya dan yang menentukan segalanya. Kekayaan kita pada hari ini tidak bermakna jika hidup kita tidak bahagia. Bahagia di dunia, bahagia akhirat.

Setiap perlakuan kita di dunia, menentukan hala tuju kita di sana. Jika bagi yang berada dalam ‘mood’ pilihan raya sekalipun, setiap undi anda sangat-sangat bermakna dalam menentukan hala tuju negara dan hidup anda di akhirat sana. Ini kerana ia sebuah amanah dan harapan. Anda yang menentukannya sendiri, terpulanglah kepada anda. Satu undi anda amat-amat ‘berharga’. Jadi, janganlah dibiarkan undi anda dibeli. Selamat mengundi!! =)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails