Kalau di Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad ‘dipanggil semula’ oleh BN bagi memenangi Dun Bagan Pinang, diletakkan sebagai calon heavyweight setelah mengambil kira faktor diterima ramai, berpengaruh, anak jati Negeri Sembilan ataupun calon tempatan dan banyak lagi, nampaknya situasi tersebut seakan-akan mempunyai persamaan dengan PRK Dun Galas kali ini.
Kali ini ketokohan dan wibawa Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li) pula ditagih setelah BN merasakan kemampuan beliau untuk memenangi sekaligus merampas semula kerusi Dun Galas dari PAS. Bukanlah perkara biasa bila mana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin terus mencadangkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, yang kebiasaannya digalas oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri mewakili ‘orang kuat’ BN selepas Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berdasarkan fakta lepas, Tengku Razaleigh Hamzah, yang sekian lama menguasai Parlimen Gua Musang, pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan sebelum ini, namun dikatakan beliau tidak pernah mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negeri
Sedangkan mengikut sifir mudahnya, semasa beliau memegang jawatan tersebut, boleh sahaja beliau mencalonkan dirinya bagi bertanding mana-mana pilihan raya disebabkan beliau ‘berkuasa’ sewaktu itu Pengerusi Perhubungan Negeri, namun beliau tidak berbuat demikian.
Namun sehingga kini Ku Li sendiri tidak mengesahkan samada beliau menerima kedua-dua tawaran tersebut. Beliau hanya akan membuat pengumuman 9 Oktober ini di KLIA sebaik sahaja sampai dari luar negara.
Setakat ini, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor berkata, Ku Li telah menerima tawaran sebagai pengarah pilihan raya itu. Namun, hanya Ku Li sendiri yang mampu membuat pengesahan berkaitan hal tersebut. Semua mata, telinga dan lensa kamera wartawan pastinya tertumpu kepada apa sahaja yang mahu Ku Li nyatakan di saat ketibaannya nanti.
Pastinya Ku Li mampu membuat bacaan politik sendiri dan membuat keputusan tepat, berdasarkan pengalaman luasnya dalam gelanggang politik negara, termasuklah beliau pernah bertanding mencabar Tun Dr. Mahathir pada ketika itu untuk bertanding sebagai Presiden Umno dan beliau hanya tewas tipis. Beliau juga pernah menjadi Menteri Kewangan dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.
Ku Li juga pernah menjadi nadi utama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), yang berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu / Islam membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS-Berjasa-Hamim-Kimma, yang mana telah berjaya merampas Kelantan dari Umno pada tahun 1990, seterusnya membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.
Beliau pernah juga menjadi tokoh utama berpengaruh yang menjadi antara faktor dalam usaha menyakinkan PBS parti komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum pada tahun 1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat, yang ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang.
Tetapi natijahnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan dengan APU memenangi 39 kerusi,dan BN tewas di semua kerusi. Jadi, kemampuan beliau sudah teruji dan terbukti di gelanggang politik negara bukan hanya sekadar omongan kosong. Ternyata kini BN sangat-sangat memerlukan pengaruh dan kredibiliti yang dimiliki Ku Li bagi menawan Dun Galas.
Mengikut perkiraan, kemungkinan Ku Li akan menerima lantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya memandangkan beliau sendiri adalah Ketua Bahagian Umno Gua Musang, lebih-lebih lagi beliau merupakan tokoh politik yang berprinsip dan ada hujahnya yang tersendiri.
Beliau dilihat masih setia kepada Umno cuma tindakannya sesekali mungkin dilihat membelakangkan parti contohnya dalam isu royalti minyak namun beliau perjuangkan demi hak rakyat Kelantan sendiri. Beliau berjuang untuk rakyat, demi kebenaran beliau sanggup ketepikan parti sendiri. Beliau juga kekadang dilihat tidak sehaluan disebabkan beliau mempunyai pandang sisi yang berbeza dengan pucuk pimpinan parti, namun teguran dan kritikan yang dibuatnya, ianya demi kebaikan parti, dan memberi pandangannya sebagai tokoh veteran parti.
Cuma untuk menerima sebagai calon, berdasarkan fakta lepas, berkemungkinan beliau lebih senang ianya diberikan kepada orang lain. Kemungkinan Ku Li meletakkan calon pilihannya adalah lebih berkemungkinan besar, berbanding beliau sendiri yang menjadi calon.
Berasaskan fakta PRK kali ini akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 September lalu.
Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa dan 127 pengundi pos, layak memilih ADUN Galas.
Melihat kepada jentera pula, setakat hari ini, percaturan strategi telah pun bermula. Di pihak kem masing-masing sudah merencana percaturan yang terbaik. Di pihak PAS telah melantik Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya ini. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Penasihat manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai Ketua Operasinya.
Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, seperti yang dinyatakan tadi, Umno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Ku Li sendiri sebagai pengarah pilihan raya, satu taktikal luar biasa yang tidak pernah dibuat oleh jentera BN sebelum ini. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi BN melantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai pengarah. Kemungkinan ada faktor-faktor mendesak dan strategi-strategi tertentu di pihak BN sendiri.
Melihat kepada calon PRK kali ini pula, dapat dilihat Setiausaha Umno bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon BN dalam pilihan raya kecil bagi kerusi dewan undangan negeri Kelantan Dun Galas ini.
Satu lagi nama yang disebut-sebut juga ialah Naib Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Zamzani Harun, 39. Namun, ada beberapa nama lagi atau tokoh Umno Gua Musang yang boleh diketengahkan untuk jadi calon. Salah seorangnya ialah Ketua Pemuda, Bazlan Baharuddin. Beliau juga dikenali orang kuat menyokong Ku Li. Bazlan ini juga pernah membuat kenyataan agar menolak Ibrahim Ali kalau bekas ahli Umno itu mahu diterima semula ke dalam Umno.
Selain Bazlan, Ketua Wanita, Wan Huzani Wan Md Noor, juga berminat untuk menjadi calon. Tetapi Wan Huzani dikatakan tidak mungkin akan dipilih kalau pengarahnya ialah Ku Li. Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed juga sudah membayangkan soal calon akan ditentukan oleh pengarah pilihan raya bersama Pengerusi BN.
Sudah tentu jika Ku Li menjadi pengarah, sudah tentu beliau akan memilih orang kepercayaannya di bahagian iaitu Setiausaha Umno bahagian Gua Musang sekarang ini. Inilah beberapa nama yang disebut dan kemungkinan akan diturunkan Umno jika calon BN selain dirinya sendiri.
Di pihak Pas pula ada dua nama setakat ini menjadi sebut sebutan, Hussein Embong iaitu pegawai Halaqah Gua Musang dan Dr Zulkifli Mohamad. Zulkifli merupakan calon Pas dalam dua pilihanraya 2004 dan 2008. Beliau pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang, kedua-dua kalah kepada Ku Li.
Dalam pilihan raya umum 2004 beliau kalah dengan kekurangan undi sebanyak 6,598. Manakala dalam PRU 2008 sekali kalah dengan kekurangan undi 4,394. Kekalahan itu bagaimana pun tidak boleh dijadikan ukuran. Pilihan raya Dun dan Parlimen berbeza. Lagipun yang ditentang Dr Zulkifli itu ialah Ku Li yang banyak jasanya selama ini kepada penduduk Gua Musang.
Sama ada Hussein atau Dr Zulkifli mereka ini juga dikatakan disenangi penduduk Galas. Bukan saja Melayu tetapi orang Cina dan Orang Asli juga senang mendekati mereka. Apa lagi Zulkifli yang mempunyai klinik di Gua Musang menyebabkan beliau dikenali ramai dan khidmatnya juga menjadi sebutan. Yang pastinya calon yang ingin diketengahkan nanti, pastinya yang tidak merokok. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah memberi tahu awal-awal kriteria calonnya mereka mestilah yang tidak merokok.
Tidak kiralah siapa pun calon yang diputuskan parti-parti yang akan bertanding nanti, namun diharapkan perjalanan PRK kali ini berjalan lancar. Penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini, akan diadakan di Bilik Gerakan dan pejabat Tanah Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November. Sama-samalah kita nantikannya.
Dengan peruntukan kira-kira sebanyak RM1.3 juta bagi menjalankan pilihan raya kecil ini berikutan kawasannya yang luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter, diharapkan ianya bukanlah sesuatu yang dilihat membazir wang rakyat, tetapi ianya berbaloi dengan rakyat Galas mendapat wakil rakyat yang baru untuk membela nasib penduduknya.
Cuma apabila keputusan SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi pada hari bekerja, penamaan calon pada hari Selasa, manakala hari pembungan undi pada hari Khamis, ianya amat mengecewakan, di sebalik kempen SPR sebelum ini untuk rakyat menunaikan tanggungjawab mereka dengan turun mengundi.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pengundi di Galas ini, terdiri dari yang berumur 21 tahun, termasuklah yang lebih 100 tahun, di mana dikatakan yang paling tua berumur 111 tahun. Itu yang menariknya fakta-fakta PRK Galas kali ini. Jangan ada individu yang sudah mati, namanya turut ditanda sebagai individu yang turut turun mengundi juga cukuplah.
Faktor kawasan tersebut sememangnya kubu kuat BN sebelum dirampas Pas pada PRU lepas dengan majoriti kecil, namun BN masih dihantui dengan janji-janji mereka yang tidak tertunai ketika di Manik Urai. Terdapat 1,889 pengundi Orang Asli daripada sejumlah 11,553 pemilih berdaftar di Galas juga, mungkin menjadi undi penentu PRK kali ini.
Dengan perkembangan Pas diperkuatkan dengan jentera DHPP dari kaum bukan Melayu, dengan orang asli juga menawarkan jentera mereka sendiri, isu-isu tempatan seperti royalti minyak, isu-isu nasional, dan faktor Ku Li sendiri, menjadikan PRK Galas ini mempunyai tarikannya yang tersendiri.
Juga boleh dilihat di laman berikut :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan