Oleh - Abdul Aziz BariMinggu lepas kita menyaksikan begitu banyak insiden yang impak dan relevannya kepada perlembagaan cukup penting. Dan ini menyebabkan sukar untuk saya memilih mana yang yang hendak diulas dalam ruangan ini. Apa pun bagi saya biarlah itu semua menjadi pemangkin kepada kesedaran rakyat; supaya mereka berasa perlu berbuat sesuatu untuk memerdekakan diri mereka. Untuk berbuat sesuatu demi mengisi ideal perlembagaan yang mahu meletakkan hala tuju pentadbiran negara di tangan mereka sendiri.
Kalau itu semua terlalu sukar untuk dihubungkan dengan rutin kehidupan mereka pun rakyat perlu sedar bahawa jika mereka tidak berbuat apa-apa mereka sendiri yang akhirnya akan membayarnya nanti. Cukai naik, kebebasan dikekang dan macam-macam lagi. Inilah yang sebenarnya hendak dielakkan oleh perlembagaan. Sebab itu bagi saya perlembagaan dan isi kandungannya bukan untuk sesuatu yang ideal semata-mata; sebenarnya di sana begitu banyak faedah dan munafaat yang boleh didapati sekiranya apa yang dituntut oleh perlembagaan – baik oleh peruntukan maupun semangatnya – dilaksanakan.
Antara insiden penting yang saya fikir relevan dengan isu-isu di atas ialah tindakan calon Pakatan Rakyat di dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim, untuk mengambil tindakan mahkamah berhubung dengan apa yang didakwanya politik wang dan serangan peribadi yang dilemparkan kepadanya sewaktu kempen.












