Jumaat, Ogos 14, 2009

Sehari Selepas.......

Macam-macam rasa. Perasaan yang berbaur. Gembira. Sedih. Ceria. Tenang. Bahagia. Begitulah perasaanku ketika menyambut ulangtahun kelahiranku apabila menginjak 13 Ogos baru-baru ni. Sahabat baikku tidak kira sahabat baikku yang sekian lama tidak kutemui atau sahabat baikku di tempat pengajianku kini, mengingati tarikh tersebut. Terharu diri ini bila mereka tidak lupa pada diri ini. Doa dari mereka mengiringiku, dan pastinya yang paling penting, doa daripada ahli keluargaku sendiri, terutamanya kedua ibu bapaku, buat anaknya ini.


Ada beberapa azam baru kusemat dalam diri, bermula dari saat dan detik ini. Banyak perkara yang menarik sepanjang hari pentingku. Namun begitu, ada juga perkara yang membuat diriku agak terkejut, terutamanya berita pemergian Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani ke rahmatullah pada sebelah pagi 13 Ogos. Jadi, ada yang sedih, dan ada yang gembira buatku pada tarikh tersebut.


Ustaz Asri yang dilahirkan pada 3 Ogos, dijemput menghadap Rabbul Jalil bila mana genap 40 tahun 10 hari umurnya. Masih muda boleh kita simpulkan. Tapi ajal seseorang di tangan tuhannya. Tiada siapa yang tahu dan tiada siapa yang dapat mengelak daripadanya.


Tidak kusangka konsert terakhirnya, Konsert Antara Dunia, anjuran GAMIS dengan kerjasama beberapa syarikat dan pertubuhan lain, termasuk Rabbani Productions sendiri, yang bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, yang turut kuhadiri, merupakan konsert dan penampilan yang terakhir buatnya. Kebetulan persembahan kumpulan Rabbani sendiri diakhiri dengan lagu ’Pergi Tak Kembali’ pada malam tersebut, setelah sketsa berkisar ’sakaratul maut’ di pentas utama.


Mungkin peringatan buat kita semua juga, walaupun semuanya seperti satu kebetulan. Kematian sesuatu yang pasti. Tanpa mengira umur, masa dan ketikanya. Ia datang tanpa dijemput. Teringat pula bait-bait akhir lagu ’Pergi Tak Kembali’.


Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Jadi, marilah kita sama-sama mendoakan Ustaz Asri ’di sana’. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Amiiiiin.


Ada lagi cerita pada hari istimewaku itu. Adik-adik kandungku juga mendoakan abang mereka. Mama dan abahku sudah pasti tidak ketinggalan mendoakan anak mereka. Itu aku yakin dan percaya. Senang juga hatiku apabila ada dua orang sahabat baikku yang ’menemani’ diri ini. Ada juga sahabat-sahabat seperjuangan, akak-akak dan abang-abang senior mendoakan aku melalui perantaraan sms dan ada juga secara langsung. Sangat gembira dan bersyukur diri ini kerna mempunyai sahabat-sahabat dan insan seperti mereka.


Tanpa mereka, siapalah aku. Jadi, aku akan sentiasa menghargai mereka dalam hidupku ini. Blog aku ini juga merupakan antara azam baruku setelah sekian lama. Bukan tidak pernah aku membuat blog sendiri sebelum ini, tapi aku tidak ada kekuatan untuk istiqamah dalam ’melayani’ blog tersebut. Maka, pada tarikh ini, telah kubina azam yang baru, blog yang baru, dengan sisipan kemas azam-azam baruku yang lain. Diharapkan doa ahli keluarga dan sahabat-sahabat sentiasa mengiringi diriku. Amiiiin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails